Tuesday, April 20, 2010

Tiada vaksin untuk rawat virus dalam PKR

Bekas Naib Presidennya, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak berkata Tidak ada vaksin yang boleh merawat 'virus' yang berada dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ini.

Bekas Naib Presidennya, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak berkata, virus itu menular aktif dalam parti sehingga mengalami 'rekahan' serius dan 'jangkitannya' terkena kepada Datuk Dr. Halili Rahmat yang juga orang kepercayaan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya tidak mahu dijangkiti penyakit dalam parti itu dan sebab itulah saya memilih untuk keluar awal-awal lagi.

"Kalau kita kaji, ahli yang keluar parti bukan golongan bawahan sebaliknya mereka yang memegang jawatan penting, latar belakang pendidikan tinggi dan kedudukan ekonomi yang kukuh," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas tindakan beberapa pemimpin PKR keluar parti dan yang terbaru melibatkan Dr. Halili yang juga bekas Bendahari PKR Hulu Selangor.

Tindakan keluar parti turut menular ke Perak apabila Ketua Wanitanya, Soraya Sulaiman dan Ketua Wanita Bahagian Bagan Serai, Roshanita Mohd.Basir turut mengucapkan selamat tinggal kepada perjuangan PKR.

Dalam pada itu, Saidatul turut mempersoalkan kenyataan Naib Presiden PKR, Mohd. Azmin Ali yang mendakwa tindakan keluar parti oleh anggota PKR itu berpunca daripada habuan yang ditawarkan oleh Barisan Nasional (BN).

"Takkan semuanya dibeli, adakah saya dibeli, sampai sekarang selepas empat tahun keluar PKR, saya tak sertai mana-mana parti pun," katanya.

Beliau berkata, dakwaan Ahli Parlimen Gombak itu tidak lebih sekadar untuk menyembunyikan masalah dalaman yang ada dalam parti itu.

Mengulas isu sama, bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim pula menegaskan, PKR kini semakin lemah dan ketandusan idea untuk menghentam kerajaan ekoran beberapa pemimpin bertindak keluar parti.

Sehubungan itu, katanya, tidak hairanlah jika Naib Presiden PKR itu berani membuat dakwaan sedemikian.

"Semua ini hanya mengarut kerana kami tidak pernah ditawarkan apa-apa ganjaran untuk keluar daripada parti.

"Apa lagi yang hendak mereka katakan? Sememangnya sudah jelas PKR kian terpesong daripada matlamat asal penubuhannya," kata beliau.